Thursday, May 25, 2006

Alkisahnya...

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia mengalihkan pandangan ke arah skrin dan terlihat lagi nombor yang menjadi igauannya sejak Mac lepas kembali lagi. Dibiarkannya telefon berlagu. Suara Si cantik manis Rossa melagukan "Pudar" terus berkumandang sehingga keakhirnya. Argh!! apa lagi yang mereka mahu dari dia ?? Fikirannya melayang ...

Lebih kurang dua tahun lalu , dia berkenalan dengan seorang lelaki ini tanpa di sengajakan. Ruang siber ini menjadi tempat pertemuan mereka. Tidak ada saksi yang boleh mengiyakan cerita ini. Walau ada yang mengetahui, cuma secebis yang mereka dapat dari dia . Kisah benarnya hanya dia yang tahu.

Bermulalah perbualan dan gurauan berlanjutan. Walau sesekali tercarik hati dek perbualan yang tidak seperti di harap, namun perkenalan masih diteruskan. Ceritanya tentang orang-orang yang disayangi begitu tragis. Dia hanya mampu berkongsi rasa dan sekadar mencurah nasihat.

Ada satu ketika terdetik di hatinya menanyakan apakah benar semua yang di ceritakan oleh lelaki ini? Namun atas tiket persahabatan dia membiarkan sangsi itu berlalu pergi di bawa angin. Perbualan masih diteruskan. Dia merasa bahagia bila bertemu dengan kenalan itu di ruangan tanpa batasan itu. Gelak ketawa, senyum tangis di kongsi lagi kerana dia telah pasti yang kenalan ini " sah" bukan penyangak yang ditakuti.

Setelah beberapa bulan mereka bertemu empat mata. Tiada apa yang indah boleh dijadikan memori ketika itu. Pertemuan berakhir sekelip mata. Hatinya terusik bila usahanya untuk menjadikan pertemuan itu satu kenyataan seakan tidak dihargai. Namun keesokan hari dia lupa akan hati yang tercalar itu, perbualan berterusan walau hanya sepatah dua kata.

Ada ketika perbualan terhenti buat beberapa ketika tanpa ada alasan. Dia tetap menanti . Kehidupannya bersama teman-teman dan keluarga diteruskan walau ada sedih di hati. Hanya ada seorang dua teman yang mengetahui akan resah dihatinya itu.

Setelah beberapa purnama, kenalan itu muncul kembali. Hatinya riang berbunga kerana ketika itu dia bagai menaruh harapan indah untuk bersama dengan kenalannya itu. Kenalan itu kembali dengan cerita-ceritanya. Lagaknya seperti penglipur lara. Kisah-kisah dunia kerjayanya diceritakan dengan fasih. Terkedu dia membaca cerita kenalannya itu. Dia merasa bangga kerana ada kenalan seperti itu. Pertemuan untuk kali kedua dan ketiga menjadi kenyataan. Mereka sekadar berbual dan makan bersama. Tidak ada riak mesra dari kenalan itu, hatinya hampa.

Ada satu ketika kenalan itu hilang tanpa berita. Dia sudah hilang kepercayaannya terhadap kenalannya itu. Dia berdoa agar yang Esa memberikan kekuatan dan petunjuk sama ada kenalannya itu hanya mahu mempermainkan hatinya. Akhirnya setelah sekian lama, kenalannya itu menghubunginya memohon maaf kerana berbohong tentang satu perkara. Dia memaafkannya kerana kenalan itu beriya-iya menyatakan tidak ada perkara lain yang tidak betul selain perkara itu.

Walau hatinya memaafkan tetapi harapan yang berbunga dahulu telah layu dan gugur. Perbualan tidak serancak awal dahulu. Sekadar bertanya khabar dan berbahasa. Kehidupannya di teruskan. Dia tidak seriang dahulu. Hatinya meruntun sedih bila malam melabuhkan tirainya.

Tanpa di duga ,hatinya berbunga kembali bila kenalan itu menyatakan sayang di hati kepadanya. Oh!! tidak disangka akhirnya retak di hati akan diubati. Itu sangkanya. Perbualan kali ini begitu indah bagai uda dan dara bercinta di hujung kampung. Keindahan itu tidak lama, bila kenalan itu menyatakan dia takut untuk meneruskan . Hah! apa yang nak ditakutkan kalau masing-masing tidak ada halangan? Kenalan itu tidak ada jawapan. Setelah beberapa ketika, dia mengalah lagi, tidak sanggup dia berterusan begini. Hatinya terluka lagi.

Kenalannya itu bercerita lagi bahawasanya dia akan kembali bila sudah mendapat jawapan. Hatinya merelakan. Biarkan dia pergi. Andai dia milikku, dia akan kembali. Itu kata hatinya. Terpahat sudah sudah dihatinya yang kenalannya itu tidak akan kembali setelah mendiam seribu bahasa. Hatinya masih tertanya-tanya apakah kesalahan yang telah dilakukan sehingga diperlakukan begitu?

Setelah hatinya redha dengan apa yang berlaku, setelah hampir 6 purnama tanpa berita sesuatu telah berlaku. Di hari lahirnya kenalan itu telah menghantar kad ucapan ringkas di emailnya. Hatinya riang kerana kenalan masih mengingati. Dia telah cuba untuk menganggap kenalan itu sebagai seorang sahabat sahaja dan dia hampir berjaya.

Sebagai tanda terimakasihnya dia telah membalas dengan mengutuskan sms kepada kenalannya itu. Dia meneruskan kerja-kerjanya kerana tidak pernah ada sambutan istimewa dihari lahirnya. Dia tak kisah langsung. Sekembalinya ke rumah malam itu setelah habis kerja, tetiba telefon bimbitnya berbunyi tetapi tidak sempat dia menjawab, panggilan telah terhenti. Hatinya cuak bila terlihat nombor telefon yang terpampang di skrin ialah nombor telefon lama kenalannya itu. Dia menelefon kembali dan hatinya bagai disambar petir bila terdengar suara anak kecil di sebelah sana. Oh tidak!! benarkah apa yang dia fikirkan ?

Dia tetap bertenang walau kakinya terasa goyah. Setelah beberapa saat tidak ada suara yang kedengaran dia memutuskan panggilan. Dia terus ke bilik membersihkan badan dan solat Isyak. Solatnya tidak khusyuk memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Hatinya sedih dan marah tetapi tidak ada airmata yang mengalir. Hatinya tambah bergelodak bila diterima lagi sms.

Kali ini dia memberanikan diri dan menelefon lagi dan akhirnya tersingkaplah rahsia bila seorang remaja perempuan memperkenalkan diri sebagai anak kenalannya itu. Dia bertenang menanyakan soalan pada anak itu dan mempekenalkan dirinya sebagai seorang kenalan lama. Si anak tidak puashati dengan penjelasan yang diberi lantas mengutuskan sms. Dia tidak sanggup lagi membalas sms yang diluahkan oleh si anak yang seolah-olah menyalahkan dirinya.

Malam itu dia tak lalu makan ...dihatinya terdetik " Inilah hadiah harilahir ku yang diberikan Allah swt kepadaku" . Jawapan yang dinantikan selama ini terjawab akhirnya...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin